Wednesday, September 10, 2014

Perkembangan bayi minggu ke 13-16

Minggu 13

Bayi Anda
Saiz fetus kini 7.5 sm dan beratnya pula 30 gm. Tulangnya mula berkembang, begitu juga dengan gigi. Pada tahap ini, fetus sentiasa menggerakkan bibirnya sebagai persediaan untuk merangsang otot bibirnya supaya daya hisapannya dapat berfungsi dengan baik setelah dia lahir nanti.



Tubuh anda
Perubahan saiz rahim yang kian membesar akan membuatkan anda menyedari bahawa perasan perut anda “buncit”. Dalam pada itu, perubahan warna puting turut berlaku. Warna bahagian tersebut berubah menjadi lebih gelap dan urat biru pada payu dara anda mula jelas kelihatan.

Minggu 14

Bayi Anda
Pada trimester kedua, organ-organ bayi dalam kandungan sudah mulai matang. Dagu, dahi dan hidung kini semakin menyerlah. Bayi anda juga berupaya untuk mengerak-gerakkan kepalanya dan ada kalanya dia boleh mengerutkan kening. Bayi anda kini berukuran 9 sm dengan berat sebanyak 60 gm.

Tubuh anda
Kuantiti darah yang mengalir dalam badan semakin banyak. Dalam masa yang sama bayi juga perlukan oksigen. Oleh yang demikian, jantung perlu bekerja kuat. Jadi, tidak hairanlah jika ketika ini jantung anda kelihatan sedikit besar. Semua itu adalah untuk memastikannya mampu menjalankan tugas sebaiknya. Hasil daripada pertambahan kuantiti darah dalam badan, anda kini jadi lebih bertenaga berbanding sebelumnya. Dalam erti kata lain, inilah waktu yang paling sesuai untuk anda dan keluarga pergi bercuti sebelum melahirkan.

Minggu 15

Bayi Anda
Tulang rangka bayi anda sedang giat berkembang. Kini kakinya lebih panjang daripada tangan. Rambut pada kepala juga semakin menebal. Begitu juga dengan kening dan bulu matanya. Semua makin jelas kelihatan. Bayi anda pada ketika ini sudah boleh mendengar. Antara yang paling jelas didengarnya ialah suara anda selain daripada degupan jantung dan bunyi perut anda. Bayi anda sekarang sudah sepanjang 12 sm dan beratnya kira-kira 100 gm.

Minggu 16

Bayi Anda
Bayi semakin kerap bergerak. Tubuh mereka juga pada ketika ini mula diselaputi lanugo iaitu rerambut halus. Tujuannya ialah untuk mengekalkan keseimbangan suhu badan. Jantina bayi anda juga sudah boleh diketahui semasa ultrasound dilakukan. Bayi anda kini berukuran 16 sm panjang dengan beratnya 135 gm.

Tubuh anda
Pada saat ini anda sepatutnya rasa lebih segar, seronok dan gembira. Selera makan juga semakin bertambah. Anda mungkin dapat merasa pergerakan pertama bayi dalam kandungan. Akan tetapi pergerakan bayi anda tidaklah terlalu ketara. Pada masa yang sama, garis halus berwarna gelap di bawah abdomen yang dikenali sebagai linea nigra semakin menyerlah. Dan garis ini kembali pudar selepas anda melahirkan.

Bye.

No comments:

Post a Comment