Sunday, August 10, 2014

Perkembangan Bayi Minggu 9-12

Minggu 9

Bayi Anda
Bentuk muka fetus mula berkembang, malah mulut dan hidungnya jelas kelihatan. Begitu juga dengan kaki dan tangannya. Fetus kini berukuran kira-kira 3 sm.


Tubuh anda
Berat anda mula bertambah. Anda digalakkan untuk merekodkan setiap pertambahan berat badan yang dialami. Ketika ini, gusi anda menjadi lebih lembut dan nipis disebabkan oleh perubahan hormon. Jadi, beri perhatian khusus kepada kebersihan gigi.

Minggu 10

Bayi Anda
Telinga luaran fetus mula jelas kelihatan. Tubuhnya kini mula memanjang di mana ibu jari dan jari-jari yang lain jelas terlihat tetapi bentuknya belum sempurna seperti jari normal manusia. Pada tahap ini, saiz fetus ialah 4.5 sm dan beratnya pula 5 g.

Tubuh anda
Jumlah darah yang mengalir di dalam tubuh kian meningkat. Ini akan membuatkan anda berasa lebih panas daripada biasa. Saiz rahim anda kini sebesar buah oren. Perubahan fizikal memaksa anda memakai pakaian yang lebih selesa sesuai dengan saiz baru anda.

Minggu 11 

Bayi Anda
Di minggu ini, majoriti organ kandungan anda sudah terbentuk. Jadi, sesetengah kesakitan yang dialami akan berakhir pada penghujung minggu ini. Kini, fetus berada dalam zon selamat daripada sebarang ketidaknormalan pada janin dan jangkitan tertentu. Berat fetus pada minggu ini sepatutnya mencecah antara 10 gm dan panjangnya pula 5.5 sm.

Tubuh anda
Sebarang perubahan (kesakitan) yang dialami akan membuatkan anda mudah berasa letih. Jadi, anda perlu mengambil peluang merehatkan diri jika ada kesempatan. Selain itu, jika berasa khuatir dengan perubahan-perubahan yang berlaku, segeralah bertemu dengan doktor agar kemusykilan anda dapat dileraikan.

Minggu 12

Bayi Anda
Jantung fetus berdegup antara 110 hingga 160 kali seminit. Pada minggu ini dadanya turun naik kerana dia sudah mula bernafas. Bentuk tubuhnya sudah mula kelihatan. Ibu jari dan jari-jari lainnya sudah lengkap terbentuk. Begitu juga dengan kukunya. Fetus sudah mampu menghisap ibu jarinya dan menelan cecair amniotik seterusnya menukarkannya menjadi urin. Cecair amniotik akan diganti setiap 24 jam. Panjang fetus kini ialah 6.5 sm manakala beratnya pula 20 gm.

Tubuh anda
Berat badan anda akan bertambah kira-kira satu perempat daripada berat badan normal di antara minggu ini hingga minggu 20. Ketika minggu ini anda akan berasa lebih bertenaga berbanding minggu-minggu sebelumnya. Teliti gaya hidup dan pemakanan anda dan pastikan diet anda mengandungi himpunan makanan yang baik dan seimbang untuk anda dan kandungan.

Bye.

No comments:

Post a Comment