Friday, October 10, 2014

Perkembangan bayi minggu ke 17-20

Minggu 17

Bayi Anda
Anggota badan bayi dalam kandungan anda kini terbentuk dengan sempurna. Deria rasanya juga sudah mula dibina. Bayi anda sekarang sudah mempunyai cap jarinya sendiri. Dan kini, dia berukuran 18 sm dengan berat sekitar 185 gm.


Tubuh anda
Pinggang ramping anda kini sudah menghilangkan dirinya. Yang tinggal hanyalah perut yang semakin membesar di samping kehadiran sedikit tanda rekahan pada bahagian tersebut. Selain perut, gusi juga mengalami sedikit gangguan. Gusi berdarah ialah antara masalah yang biasa dialami wanita hamil. Jangan risau. Pergilah bertemu doktor gigi untuk rawatan.

Minggu 18

Bayi Anda
Kulit bayi anda ketika ini masih lagi berkedut kerana mereka belum pun mengumpul lemak. Dia juga sangat aktif bergerak. Bayi anda juga mula peka terhadap bunyi-bunyian daripada luar. Oleh yang demikian, janganlah terperanjat jika tiba-tiba bayi anda menendang setelah terdengar bunyi kuat yang tidak anda duga. Bayi anda kini berukuran kira-kira 21 sm dengan beratnya 235 gm.

Tubuh anda
Ketika ini anda sudah semakin dapat rasa pergerakan anak. Dalam masa yang sama, ibu hamil juga mungkin mengalami masalah untuk bernafas. Hal ini terjadi kerana semasa hamil, membran dalam hidung akan membengkak seterusnya mengganggu peredaran udara masuk ke dalamnya. Selain itu, lelehan faraj juga semakin bertambah. Sepanjang trimester kedua ini, anda akan dapat mengesan beberapa perubahan sampingan yang ketara pada tubuh selain daripada pertambahan berat badan.

Minggu 19

Bayi Anda
Sama seperti anda, janin dalam kandungan juga semakin membesar. Ketika ini gigi susu mereka mulai terbentuk dalam gusi. Dalam masa yang sama, tunas untuk pembentukan gigi kekal juga muncul. Janin anda sudah menjangkau 23 sm dengan beratnya kira-kira 285 gm.

Tubuh anda
Saat ini berat badan anda semakin bertambah. Punggung, paha dan bahagian abdomen adalah antara kawasan yang paling ketara pertambahan beratnya. Urat-urat halus juga mula kelihatan pada muka anda. Jangan risau, semua itu akan kembali seperti sedia kala setelah anda melahirkan.


Minggu 20

Bayi Anda
Vernis merupakan sejenis bahan putih berminyak mula menyelaputi kulit bayi untuk melindunginya daripada cecair amniotik semasa berada dalam kandungan. Bayi anda kini berukuran 25.5 sm dengan berat 340 gm.

Tubuh Anda
Rahim semakin cepat membesar  dan anda kini telah kelihatan sama seperti ibu hamil lain. Akibat pembesaran perut yang begitu cepat, pusat hampir tidak kelihatan. Tetapi, ada sesetengah ibu hamil pusatnya tidak menjadi rata sebaliknya tertonjol keluar. Ketika ini masalah pedih ulu hati bukan suatu yang asing.

Bye.

No comments:

Post a Comment