Thursday, October 30, 2014

Perkembangan Bayi Minggu Ke 21-24

Minggu 21 

Bayi Anda
Bayi anda kini sangat aktif. Hampir setiap saat anda akan dapat rasa pergerakannya. Jadi, tidak hairanlah kalau setiap malam tidur anda diganggu. Jika hal ini terjadi kepada anda, usap perlahan perut sambil berkata-kata kepada anak. Dipercayai dengan cara iniakan dapat menenangkan bayi. Kini, bayi sudah semakin besar dan beratnya kira-kira 390 gm dan dianggarkan 28 sm panjang.

Tubuh Anda
Pada masa ini anda berpeluang untuk melihat perut bergelombang hasil daripada pergerakan bayi dalam kandungan. Anda juga mungkin ada masalah untuk bernafas kerana paru-paru semakin terhimpit akibat ditekan rusuk yang semakin mengembang. Pada masa ini anda juga kelihatan lebih bertenaga dan mungkin inilah masa yang sesuai untuk membuat persediaan menerima kehadiran cahaya mata.

Minggu 22

Bayi Anda
Bayi dalam kandungan anda terus membesar akibatnya ruang untuk mereka bergerak semakin kurang. Bayi anda kini mungkin berhubungan dengan anda melalui tendangan ataupun gerakan yang dilakukannya. Sistem pernafasan mereka masih dalam proses pembinaan dan paru-paru belum lagi berfungsi untuk menyalurkan oksigen ke salur darah. Bayi anda kini berukuran 29 sm dengan berat kira-kira 410 gm.

Tubuh anda
Tulang rusuk bahagian bawah anda mula rasa sakit akibat ditolak keluar oleh rahim yang semakin membesar. Untuk kurangkan rasa tidak selesa, cuba duduk setegak mana yang anda mampu atau anda boleh mengangkat tangan dengan lurus melepasi kepala. Selain itu, jika anda ada cara lain yang lebih menyelesakan, amalkanlah kerana inilah waktu terbaik untuk anda cuba apa sahaja cara asalkan kesakitan yang dialami tidak berlarutan.

Minggu 23

Bayi Anda
Bayi anda kini sudah semakin sempurna pembentukannya. Jika dia lelaki, skrotumnya sudah terbentuk sempurna dan jika dia perempuan, dalam ovarinya kini sudah pun terkandung beberapa juta telur. Jumlah telur ini akan berkurangan ke sekitar dua juta ketika dilahirkan dan jumlahnya semakin berkurangan apabila usia anak semakin meningkat. Bayi anda kini berukuran kira-kira 31 sm dengan berat sebanyak 440 gm.

Tubuh anda
Anda mula dapat rasakan kehadiran bayi dalam perut. Anda akan rasa tegang pada bahagian tersebut. Kadangkala anda akan rasa sakit seperti mencucuk-cucuk pada bawah perut kerana otot uterine sedang meregang. Rasa sakit ini akan hilang apabila anda berehat.

Minggu 24

Bayi Anda
Bayi anda semakin lasak bergerak. Anda juga semakin mahir membaca pergerakannya. Degupan jantung bayi anda sudah boleh didengar walaupun hanya menggunakan stetoskop biasa. Bayi anda juga sudah boleh mendengar kata-kata anda dengan jelas. Kini berat bayi anda sudah menjangkau 500 gm dengan panjangnya 33 sm.

Tubuh anda
Tubuh anda kini mula menambah beratnya sebanyak setengah kilo seminggu. Dalam masa yang sama, kaki anda akan mula rasa tegang akibat berat badan yang bertambah dengan banyak. Untuk mengelakkan rasa tidak selesa, pastikan kasut yang sesuai.

Bye.

No comments:

Post a Comment